Wednesday, May 20, 2009

Berhati-hati di jalanraya


Semasa aku di tugaskan di Daerah Kelahiranku Dungun. Aku dikejutkan dengan berita seorang kawan mengalami kemalangan. Di khabarkan kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah motosikal. Penunggang motosikal dikatakan tidak memberhentikan motosikalnya di satu simpang. Akibatnya penunggang motosikal maut serta merta dan kereta beliau telah terbalik, beliau juga mengalami kecederaan. Terdengar cerita ini teringat kembali kepada remaja-remaja masa kini yang suka melakukan aksi-aksi yang menggerunkan di atas jalanraya. Dulu semasa remaja aku juga peminat motosikal sekarangpun masih sukakan motosikal tetapi tidaklah sampai merbahayakan diri sendiri dan orang lain. Kepada remaja-remaja ataupun kini lebih dikenali sebagai Mat Rempit menungganglah dengan selamat, berhati-hati dijalanraya dan jangan merbahayakan nyawa. Hidup Hanya Sekali, Ingatlah Keluarga Tersayang.

Terpaksa Berpisah

Walaupun kita sayang dan kasih, ketentuan Allah S.W.T tidak dapat kita lari. Begitu juga yang berlaku pada diri aku. Sayang aku kepadanya tidak dapat aku bayangkan. Oleh kerana dia telah menyakitkan aku ndak atau tidak aku terpaksa berpisah dengannya buat selama-lamanya. Berpisah dengannya yang telah bersama lebih 10 tahun amat memeritkan kehidupanku. Peristiwa ini berlaku semasa aku di tugaskan untuk membantu menjayakan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu. Kesakitan akibat darinya menyebabkan aku tidak dapat menjalankan tugas dan bergegas berjumpa doktor. Doktor menyarankan supaya aku mencabutnya dengan segera bagi mengelakkan aku terus sakit. Maka terpisahlah aku dengan gigi gerahamku buat selama-lamanya. Aku diberi cuti sakit selama satu hari. Hari ini aku menjalankan tugas seperti biasa dan tidak sakit lagi walaupun amat perit untuk berpisah. Kekadang perpisahan itu membawa rahmat dan kebaikan. Itulah yang berlaku padaku.

Saturday, May 16, 2009

Kampung Trasional Berubah

Kalau dulu kampung Pasir Lawang hanya dihubungkan dengan jalan sungai, kini suasana itu telah berubah, jalan darat menjadi penghubung antara kampung Pasir Lawang dengan kampung-kampung sekitar dan Bandar Dungun. Kalau dulu penduduk kampung perlu merentasi sungai untuk ke bandar Dungun kini penduduk boleh menggunakan jalanraya yang dibina kerajaan. Kehidupan telah berubah daripada kehidupan asal. Ada di kalangan anak-anak penduduk kampung telah menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Sesetengahnya ada yang menjadi doktor perubatan, guru, peguam dan lain-lain.
Berbalik kepada sungai yang dulunya riuh rendah kini menjadi sepi. jalan ke sungai telah di penuhi semak samun. sesekali ada kaki pancing yang menjadikan sungai ini sebagai tempat melepaskan gian memancing. Dulu akulah yang menjadi teman kepada sungai yang sepi ini. Aku selalu mengunjungi sungai ini untuk memenuhi hobi samaada memancing, mencari udang, menahan bubu, tahan taut, menunggu tuntung dan sebagainya. Oleh kerana desakan hidup dan keperluan hari ini aku telah berpindah dari kampung halaman yang dicintai ke kawasan bandar yang membosankan. sesekali aku kembali kepada kehidupan semula jadi terutamanya apabila ada cuti panjang. Besttttttttttttttttt woooo

Tempat Kelahiran




Kampung Pasir Lawang terletak di Daerah Dungun, Terengganu. Pasir Lawang banyak meninggalkan kenangan pahit manis buat aku. Di Kampung inilah aku mula mempelajari apa itu kehidupan. Bermula disini jugalah aku mula mengenali susah payah. Pasir Lawang sebuah kampung tradisional mempunyai sebatang sungai yang mengalir terus dari hulu menghala ke Kuala Dungun. Sungai yang di kiri kanannya mempunyai pasir yang meluas sayup mata memandang. Mengenang kembali kehidupan masa kecil, sungai ini merupakan tempat aku belajar bagaimana mendayung perahu kolek, bagaimana mengimbang badan dalam kelajuan arus sungai, bagaimana menangkap udang galah hanya menggunakan tangan dan sebagainya semua berkaitan kehidupan di sungai. Rumah aku yang berhampiran sungai membolehkan aku menjadikan sungai sebagai tempat permainan. Alam semula jadi yang cantik membuatkan aku sentiasa merindui kehidupan masa silam. Kini kehidupan telah berubah, kalau dulu aku berperahu mengharung sungai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar, kini telah ada jalan yang melebar, kalau dulu aku berjalan kaki melalui lopak-lopak air serta kubang kerbau, kini tidak lagi begitu, kebanyakan orang kampung telah mempunyai kenderaan masing-masing, kalau ada yang tidak mempunyai keretapun mereka boleh menumpang siapa yang mempunyai kereta ataupun mereka boleh menggunakan basikal atau motosikal. Keadaan telah berubah mengikut peredaran masa. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.
Melihat pada sungai yang hampir sepi kini, pencemaran yang melanda, aku menjadi terharu, kalau dulu bulan mei seperti hari ini aku boleh melihat tuntung menghadirkan wajahnya pada waktu malam di pasir untuk bertelur, kini tiada lagi. Perubahan masa dan adanya aktiviti menyedut pasir secara tidak terkawal menyebabkan habitat kehidupan tuntung tercemar. Aktiviti menahan ikan secara " Tahan Taut" juga menyebabkan tuntung mati apabila memakan umpan yang disangkut. " Istilah "Tahan Taut" ialah cara menangkap ikan dengan menggunaan mata kail bersaiz besar disangkut umpan anak ikan hidup untuk menangkap ikan yang lebih besar. Tahan taut ini juga amat popular dikalangan penduduk kampung kerana ianya mudah selain tidak perlu menunggu .Tali taut diikat di dahan-dahan pokok yang berjuntai disungai atau boleh juga menggunakan batang yang dipacakkan di tebing sungai. Tahan petang, pagi tengok samaada ikan mengena atau tidak. Akupun sudah jarang-jarang menjengok tempat permainan ini. Kesibukan tugas seharian tidak memberi ruang untuk aku sentiasa berada di tepi sungai.