Saturday, May 16, 2009

Tempat Kelahiran




Kampung Pasir Lawang terletak di Daerah Dungun, Terengganu. Pasir Lawang banyak meninggalkan kenangan pahit manis buat aku. Di Kampung inilah aku mula mempelajari apa itu kehidupan. Bermula disini jugalah aku mula mengenali susah payah. Pasir Lawang sebuah kampung tradisional mempunyai sebatang sungai yang mengalir terus dari hulu menghala ke Kuala Dungun. Sungai yang di kiri kanannya mempunyai pasir yang meluas sayup mata memandang. Mengenang kembali kehidupan masa kecil, sungai ini merupakan tempat aku belajar bagaimana mendayung perahu kolek, bagaimana mengimbang badan dalam kelajuan arus sungai, bagaimana menangkap udang galah hanya menggunakan tangan dan sebagainya semua berkaitan kehidupan di sungai. Rumah aku yang berhampiran sungai membolehkan aku menjadikan sungai sebagai tempat permainan. Alam semula jadi yang cantik membuatkan aku sentiasa merindui kehidupan masa silam. Kini kehidupan telah berubah, kalau dulu aku berperahu mengharung sungai untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar, kini telah ada jalan yang melebar, kalau dulu aku berjalan kaki melalui lopak-lopak air serta kubang kerbau, kini tidak lagi begitu, kebanyakan orang kampung telah mempunyai kenderaan masing-masing, kalau ada yang tidak mempunyai keretapun mereka boleh menumpang siapa yang mempunyai kereta ataupun mereka boleh menggunakan basikal atau motosikal. Keadaan telah berubah mengikut peredaran masa. Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.
Melihat pada sungai yang hampir sepi kini, pencemaran yang melanda, aku menjadi terharu, kalau dulu bulan mei seperti hari ini aku boleh melihat tuntung menghadirkan wajahnya pada waktu malam di pasir untuk bertelur, kini tiada lagi. Perubahan masa dan adanya aktiviti menyedut pasir secara tidak terkawal menyebabkan habitat kehidupan tuntung tercemar. Aktiviti menahan ikan secara " Tahan Taut" juga menyebabkan tuntung mati apabila memakan umpan yang disangkut. " Istilah "Tahan Taut" ialah cara menangkap ikan dengan menggunaan mata kail bersaiz besar disangkut umpan anak ikan hidup untuk menangkap ikan yang lebih besar. Tahan taut ini juga amat popular dikalangan penduduk kampung kerana ianya mudah selain tidak perlu menunggu .Tali taut diikat di dahan-dahan pokok yang berjuntai disungai atau boleh juga menggunakan batang yang dipacakkan di tebing sungai. Tahan petang, pagi tengok samaada ikan mengena atau tidak. Akupun sudah jarang-jarang menjengok tempat permainan ini. Kesibukan tugas seharian tidak memberi ruang untuk aku sentiasa berada di tepi sungai.

1 comment: